TONGOD, 19 MEI – Seekor gajah Pygmy Borneo ditemukan mati dalam keadaan mengerikan di kawasan Hutan Simpan Sungai Pinangah dekat sini, dipercayai menjadi mangsa pemburuan haram.
Lebih menyayat hati, gajah jantan berkenaan ditemukan tanpa gading selepas bahagian muka dan mulutnya dipercayai dipotong menggunakan objek tajam sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan sindiket pemburu haram kembali aktif di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut yang dipercayai mempunyai unsur jenayah hidupan liar.
Menurut beliau, pasukan Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) menerima maklumat mengenai penemuan bangkai haiwan itu kira-kira jam 8.25 pagi pada 18 Mei sebelum sepasukan pegawai dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Siasatan awal mendapati pada petang 17 Mei, pekerja ladang berhampiran terdengar bunyi kuat menyerupai letupan
namun mereka tidak dapat melakukan pemeriksaan segera berikutan cuaca buruk dan hujan lebat sepanjang malam.
“Keesokan paginya, pengurus ladang bersama pekerja menjalankan pemantauan di kawasan nurseri sebelum menemukan seekor gajah jantan Borneo mati berhampiran lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemeriksaan kemudian dijalankan antara jam 12.13 tengah hari hingga 3.30 petang dengan bantuan Pasukan Komuniti (Community Rangers) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, pemeriksaan mendapati gajah berkenaan mempunyai ketinggian kira-kira 2.9 meter dan terdapat kesan potongan berbentuk huruf ‘L’ pada bahagian muka serta mulut haiwan itu.
“Gading gajah dipercayai telah dipotong dan dibawa lari. Bagaimanapun setakat ini tiada kesan tembakan ditemukan pada badan haiwan tersebut.
“Proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.
Jafry berkata, keadaan cuaca ketika kejadian turut menyukarkan usaha mengumpul bukti di lokasi selain menjejaskan proses siasatan awal.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya siasatan mengesahkan berlaku pemburuan haram atau aktiviti pemotongan gading secara tidak sah.
“Gajah Borneo merupakan spesies terancam dan khazanah penting biodiversiti negeri ini. Sebarang ancaman terhadap haiwan dilindungi ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu pihak berkuasa bagi memastikan individu terlibat dapat dikesan dan diambil tindakan sewajarnya.
