KOTA KINABALU, 15 MEI– Isu kenaikan bil elektrik yang tular kebelakangan ini antara perkara dibincangkan dalam sesi libat urus antara Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah dan Sabah Electricity di Menara Kinabalu, hari ini.
Sesi berkenaan melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang serta Papar selain menghimpunkan pegawai kanan kedua-dua pihak bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan Community Development Officer (CDO).
Program itu turut dihadiri Pengarah UPPM, Awang Kadin Tang dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Mohd Yaakob Jaafar.
Selain menjadi platform bertukar pandangan dan berkongsi maklumat semasa, sesi tersebut turut membincangkan pelbagai isu serta cabaran di peringkat akar umbi supaya tindakan susulan dapat diambil secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Dalam sesi itu, Sabah Electricity turut memberi penjelasan berhubung isu kenaikan bil elektrik termasuk berkaitan wang cagaran serta faktor yang menyumbang kepada peningkatan bil pengguna.
Sabah Electricity juga memaklumkan aplikasi mySE+ telah ditambah baik bagi menyediakan platform digital yang lebih responsif, mesra pengguna dan memenuhi keperluan pelanggan.
Sementara itu, Awang Kadin dalam ucapannya menegaskan kepentingan kerjasama erat dan komitmen semua pegawai serta PPM dalam memastikan dasar dan inisiatif kerajaan negeri dapat diterjemahkan secara efektif kepada rakyat.
Sesi soal jawab pada akhir program turut memberi peluang kepada pemimpin komuniti membangkitkan pelbagai isu semasa yang sering dihadapi masyarakat setempat.
