KOTA KINABALU, 14 MEI- Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus di Sungai Rampayan berhampiran Kampung Dombung, Manggatal, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.05 petang itu, mangsa dikenali sebagai Akil Hamizan Ahmad dikatakan pergi ke sungai bersama beberapa rakannya untuk mencari ikan sebelum tersasar dan dibawa arus deras.
Pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi berjaya menemui mangsa sekitar jam 4.17 petang sebelum bantuan CPR diberikan di lokasi kejadian.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Likas namun disahkan meninggal dunia pada jam 5.46 petang.
Polis menasihatkan ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak terutama ketika berada di kawasan sungai atau perairan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
