KOTA KINABALU, 13 MEI: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglina Haji Hajiji Haji Noor memaklumkan Kerajaan Negeri memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Sabah bagi memastikan hak autonomi imigresen negeri terus terpelihara.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah meneliti beberapa isu berkaitan pelaksanaan AKPS yang dikhuatiri boleh menjejaskan kuasa dan keistimewaan imigresen Sabah dari segi perundangan serta operasi penguatkuasaan.
Beliau berkata, antara kebimbangan utama ialah pengambilalihan peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu masuk negeri selain kemungkinan pertindihan antara Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Kerajaan Negeri menegaskan kuasa autonomi imigresen Sabah adalah hak yang tidak boleh dirunding kerana ia termaktub dalam pembentukan Malaysia menerusi Malaysia Agreement 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambahnya, penangguhan itu akan kekal sehingga kerajaan negeri memperoleh jaminan bahawa tiada sebarang penghakisan terhadap kuasa autonomi imigresen serta hak Sabah sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan.
