SANDAKAN, 9 MEI – Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menganjurkan Hari Terbuka Armada MAWILLA 2 Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Mei di Pangkalan TLDM Sandakan.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris.
Penganjuran hari terbuka itu merupakan salah satu inisiatif berterusan TLDM dalam memperkukuhkan hubungan strategik bersama masyarakat awam.
Selain memberi pendedahan secara langsung mengenai peranan, fungsi dan keupayaan TLDM dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan perairan negara.
Sepanjang program berlangsung pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya pameran aset dan persenjataan TLDM, lawatan ke kapal-kapal TLDM, demonstrasi taktikal dan operasi, persembahan pancaragam, pameran kerjaya, reruai pameran agensi kerajaan serta jualan usahawan tempatan.
Pengisian program itu bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pengunjung malah berjaya mewujudkan suasana interaktif dan mesra rakyat antara warga TLDM dengan komuniti setempat.
Selain mendekatkan masyarakat dengan TLDM, program berkenaan turut berperanan menyemai semangat patriotisme, meningkatkan kesedaran maritim serta memupuk kefahaman masyarakat terhadap kepentingan keselamatan perairan negara yang menjadi tonggak kestabilan dan kemakmuran negara.
Dalam pada itu, TLDM melalui MAWILLA 2 turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program tersebut termasuk Majlis Perbandaran Sandakan, agensi kerajaan, pihak swasta, pasukan keselamatan, sukarelawan, pengamal media serta warga kerja yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
Menurut kenyataan itu lagi, kejayaan Hari Terbuka Armada MAWILLA 2 Tahun 2026 mencerminkan sokongan berterusan masyarakat terhadap TLDM dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan dan kedaulatan maritim negara.
