PM TINJAU KESIAPSIAGAAN KESELAMATAN DI POS DOGOTON

sabahheadlines
1 Min Read

KUDAT, 9 MEI- Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan lawatan kerja ke Pulau Banggi dengan melawat Pos Dogoton bagi meninjau tahap kesiapsiagaan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Filipina selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina.

Menurut beliau, Pos Dogoton merupakan antara pos keselamatan hadapan yang strategik di perairan utara Sabah dan berperanan penting dalam memantau serta mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Dalam lawatan itu beliau turut diberi taklimat operasi selain meninjau kawasan kepulauan berhampiran serta pengoperasian sistem radar yang digunakan bagi tujuan pemantauan keselamatan.

Anwar berkata, penugasan anggota Angkatan Tentera Malaysia di kawasan terpencil dan mencabar memerlukan tahap disiplin, ketahanan mental serta semangat juang yang tinggi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota ATM yang bertugas mempertahankan keselamatan perairan negara sambil menyifatkan komitmen dan kesiapsiagaan pasukan itu sebagai benteng utama dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara.

Share This Article