TAWAU, 7 Mei – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia berjaya membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa menerusi operasi khas di daerah ini dengan rampasan dadah bernilai RM16.34 juta.
Pengarah JSJN, CP Dato’ Hussein Omar Khan berkata, operasi dikenali sebagai Op Hymenoptera itu dilaksanakan hasil kerjasama bersama Agensi Kawalan dan Penguatkuasaan Dadah (AKPS) serta ESSCOM menerusi dua serbuan berasingan pada 21 April dan 1 Mei lalu.
Menurutnya, serbuan pertama di Batu 15, Jalan Apas membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia antara 36 hingga 52 tahun bersama sebuah kenderaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 128 paket disyaki Methamphetamine seberat 130.60 kilogram,” katanya pada sidang media hari ini.
Susulan itu polis melakukan serbuan kedua di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas membabitkan dua kenderaan.
Katanya, pemeriksaan menemui 192 bungkusan Methamphetamine seberat 193.31 kilogram selain 488 kartrij cecair disyaki Fentanyl berjumlah 0.98 liter.
Secara keseluruhan sebanyak 323.91 kilogram Methamphetamine dan 0.98 liter Fentanyl berjaya dirampas yang dianggarkan boleh menjejaskan kira-kira 1.58 juta pengguna.
Hussein berkata, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan menggunakan kenderaan yang diubah suai bagi menyembunyikan dadah sebelum diedarkan ke Sabah.
Beliau berkata, kedua-dua suspek sudah didakwa di mahkamah pada 6 Mei lalu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain dadah polis turut menyita aset bernilai kira-kira RM34,000 termasuk sebuah kenderaan, motosikal dan wang tunai RM8,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988.
