ROHANA SEMAKIN STABIL, MENTERI KBSK TINJAU KEADAAN DI HQE II

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU,7 MEI -Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Hj. Nizam DSP Hj. Abu Bakar Titingan meninjau keadaan Rohana Joseph yang kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini, hari ini.

Beliau dimaklumkan keadaan Rohana yang sebelum ini koma ketika berada di Vietnam semakin stabil dan menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan rapi pihak hospital.

Dalam lawatan itu Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas keprihatinan serta tindakan pantas membantu membawa pulang Rohana ke Sabah bagi meneruskan rawatan.

Katanya, kerjasama pelbagai pihak termasuk Yayasan Kebajikan Sabah banyak membantu melancarkan urusan rawatan pesakit.

Rohana adalah isteri kepada Jamri Herry yang juga kakitangan Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) agensi di bawah kementerian berkenaan.

Beliau turut menghargai komitmen pasukan perubatan dan pakar HQE II dalam memberikan rawatan terbaik selain mendoakan agar Rohana segera sembuh sepenuhnya.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Hj. Asun, Pengarah MSNS, Mohd Asneh Mohd Noor serta pegawai kementerian dan hospital.

Share This Article