SANDAKAN,5 MEI- Kerajaan akan membincangkan cadangan untuk menghidupkan semula barter trade di Sandakan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Nor berkata, semua aspek termasuklah keselamatan dan kebaikan ekonomi perlu dibincang.
“Kita menerima banyak cadangan untuk menghidupkan barter trade tetapi kita perlu mengkaji dan membincangkannya,” katanya kepada media di sini hari ini.
Beliau berkata, majlis keselamatan negeri dan majlis pembangunan tindakan negeri akan membincangkan cadangan tersebut.
Baru-baru ini sewaktu Sidang Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Musa mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula perniagaan barter trade di Sandakan.
Hazem dalam cadangannya itu menyatakan barter trade berupaya meningkatkan ekonomi Sandakan.
Perniagaan barter trade antara Sandakan dengan negara jiran Fikioina sememangnya telah dikenali.
Mengulas lawatannya, Ketua Menteri berkata program itu bertujuan meninjau keadaan
di pulau terbabit yang menempatkan penguatkuasa Taman-Taman Sabah (TTS) dan pasukan keselamatan, sama ada polis atau tentera.
Katanya, lawatan itu juga membolehkan beliau bersama rombongan melihat sendiri
keadaan pos keselamatan yang ditempatkan di pulau-pulau sekitar perairan Sandakan.
“Hasil tinjauan ini, saya lihat semua kesiapsiagaan pasukan keselamatan, termasuk fasiliti di pos kawalan dalam keadaan baik semua, fasiliti juga sudah ditambah.
“Saya telah bawa perkara ini kepada Perdana Menteri dan banyak aset diberi
peruntukan walaupun masih banyak lagi yang diperlukan.
“Ini amat penting untuk pasukan keselamatan mengawasi perairan kita, terutama aset
canggih yang boleh memantau mereka yang mungkin mahu masuk ke negara kita,”
katanya.
Ketua Menteri turut menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan aspek keselamatan perairan pantai timur Sabah dalam membantu meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan itu, khususnya pelancongan.
Hajiji bersama rombongan mengadakan lawatan ke Pulau Bakungan Kecil, sebelum ke
Pulau Selingan dan Pulau Langkayan.
