SELUAS 40RIBU EKAR TELAH DIWARTAKAN UNTUK PERKAMPUNGAN

sabahheadlines
3 Min Read

sh@ editor

SANDAKAN (16 OGOS): Seluas 40 ribu ekar tanah telah diwartakan sebagai perkampungan di beberapa daerah negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pewartaan itu adalah untuk memastikan rakyat terus tinggal secara sah.

“Kerajaan menyedari masalah rakyat khususnya penduduk karamunting yang sudah lama menduduki kampung tanpa pewartaan,” katanya pada Majlis Penyampaian Tapak Tanah Pewartaan Kampung Karamunting Baharu di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Karamunting di sini malam Jumaat.

Hajiji berkata pewartaan itu termasuklah di kawasan hutan simpan.

Katanya pewartaan perkampungan turut dibuat di Sipitang dan Tenom serta beberapa daerah lain selain Sandakan.

Untuk rekod, dua lagi perkampungan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting yang sudah pun diwartakan sebelum ini sebagai perkampungan ialah Kampung Bokara dan Kampung Air.

Hajiji Noor berkata usaha diambil bagi mewartakan perkampungan yang sudah lama diduduki seperti dilakukan
baru-baru ini.

Beliau berkata, keluasan tanah yang diwartakan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menyelesaikan masalah dihadapi penduduk kampung.

“Kita mahu memberi jaminan kepada rakyat kita supaya mereka ada tempat tinggal yang secara sah, tidak menjadi setinggan tetapi menjadi penduduk yang sah di perkampungan yang telah lama mereka duduki,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyaksikan penyerahan tapak tanah milik Majlis Perbandaran
Sandakan (MPS) untuk diwartakan sebagai Tanah Rizab Anak Negeri untuk Kampung
Karamunting Baharu.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpinannya hari ini merupakan sebuah kerajaan prihatin terhadap apa juga masalah rakyat termasuk membantu golongan kurang berkemampuan.

Jelasnya, dasar yang begitu baik membolehkan pihak kerajaan membantu meliputi semua aspek pembangunan selain memajukan negeri daripada segi sektor ekonomi malah turut mengambil berat soal masa depan rakyat.

Sementara itu, penantian lebih 60 tahun berakhir apabila Kampung Karamunting Baharu akhirnya diwartakan sebagai sebuah perkampungan.

Ketua Kampung Karamunting Baharu, Awang Japar menyifatkannya sebagai hari yang sangat bersejarah buat penduduk kampung setelah banyak liku cabaran dari segi pengurusan dan pemimpin saling bersilih ganti untuk memastikan perkampungan mereka diwartakan.

“Masyarakat kampung berterima kasih sepenuhnya …setelah menunggunya begitu lama kira-kira 60 lebih tahun kami bersyukur kerana kampung ini telah diwartakan sebagai perkampungan,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu termasuklah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib; Adun Karamunting, Datuk George Hiew dan Presiden MPS Walter Kenson.

Tamat

Share This Article