SANDAKAN, 3 MEI– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya menumpaskan aktiviti pemindahan minyak sawit mentah secara tidak sah menerusi penahanan sebuah barge dan sebuah bot kargo kecil dalam satu operasi awal pagi kelmarin..
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain memaklumkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 2.00 pagi ketika bot peronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan berkenaan.
Menurut beliau, hasil maklumat awam, pasukan operasi telah mengesan sebuah barge dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.10 batu nautika selatan Bandar Leila.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti pemindahan minyak sawit mentah sedang dilakukan ke sebuah bot kargo kecil menggunakan pam kargo.
“Semasa bot peronda menghampiri lokasi, beberapa individu cuba melarikan diri namun berjaya dipatahkan oleh anggota penguat kuasa,” katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira tujuh tan minyak sawit mentah telah dipindahkan ke dalam tangki bot kargo kecil, manakala baki dianggarkan tiga tan masih berada di dalam barge.
Dalam operasi tersebut, seramai lima individu termasuk empat lelaki tempatan dan seorang warganegara Filipina berumur antara 29 hingga 48 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan. Kesemua mereka merupakan kru barge dan awak-awak bot kargo kecil berkenaan.
Kedua-dua vesel bersama muatan yang dianggarkan bernilai RM2.08 juta telah diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut. Siasatan dijalankan oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperketatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah maritim serta pelanggaran undang-undang di perairan negara.
