TAWAU, 1 MEI -Seorang remaja lelaki diberkas polis selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi pemeriksaan mengejut di Jalan Pekan Kalabakan, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis Jasmin Hussin berkata kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu berlaku ketika sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan menjalankan pemeriksaan rutin terhadap kenderaan awam.
Menurutnya, sebuah motosikal yang ditunggang suspek telah ditahan untuk pemeriksaan sebelum lelaki berkenaan bertindak mengeluarkan sebuah kotak besi berwarna perak dari poket seluarnya.
“Suspek kemudiannya menyerahkan kotak tersebut kepada anggota polis dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki syabu seberat kira-kira 0.56 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek berusia 18 tahun yang bekerja sebagai buruh itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.
Jasmin berkata, pihak polis akan terus memperhebat operasi pemantauan dan sekatan jalan raya dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah, khususnya di kawasan Kalabakan.
Dalam pada itu orang ramai diingatkan agar menjauhi gejala dadah kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh menjejaskan masa depan individu serta kesejahteraan keluarga.
