DUN SABAH LULUS EMPAT RUU TERMASUK PINDAAN HARI KELEPASAN DAN PENGANGKATAN

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 30 APRIL – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan empat Rang Undang-Undang (RUU) iaitu Hari Kelepasan (Pindaan) 2026, Pengangkatan (Pindaan) 2026, Pengurusan Bangunan 2026 dan Tanah (Hakmilik Subsidiari) 2026.

Kesemua RUU berkenaan diluluskan oleh Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai ketika membentangkan RUU Hari Kelepasan (Pindaan) 2026 berkata, pindaan tersebut bertujuan meminda Enakmen Hari Kelepasan [Bab 56], khususnya subseksyen 3(3) bagi memperjelaskan kedudukan undang-undang berkaitan pemberian hari kelepasan am apabila berlaku pertindihan dengan hari Ahad.

“Pindaan ini adalah perlu bagi menutup kelompongan peruntukan sedia ada serta memastikan tafsiran yang jelas, konsisten dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam pelaksanaannya.

“Ia juga bertujuan memastikan peruntukan negeri Sabah selaras dengan Holidays Act 1951 [Act 369] di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki ketika membentangkan RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026 berkata, Ordinan Pengangkatan 1960 merupakan undang-undang yang mentadbir urusan pengangkatan anak di Negeri Sabah.

Beliau berkata, pada 21 November 2024, DUN Sabah telah meluluskan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 yang bertujuan menyediakan peruntukan khusus berkaitan pengangkatan anak dalam kalangan umat Islam di negeri ini yang mula berkuat kuasa pada 26 Disember 2024.

“Enakmen ini memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengeluarkan perintah pengangkatan serta menetapkan syarat, proses persetujuan, pengecualian persetujuan dan sekatan menarik balik persetujuan.

“Sehubungan itu, pindaan Seksyen 23 Ordinan Pengangkatan 1960 perlu dilaksanakan6 bagi memperuntukkan bahawa ordinan tersebut tidak terpakai kepada orang Islam serta membolehkan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 dilaksanakan dan dikuatkuasakan,” katanya.

Share This Article