KOTA KINABALU, 29 APRIL-Pasukan penyelamat bertindak pantas memindahkan mangsa kebakaran yang melibatkan rumah setinggan di belakang stesen minyak Petronas di Jalan Bokara ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Air, hari ini.
Operasi pemindahan dilaksanakan sejurus selepas kejadian bagi memastikan keselamatan semua mangsa terjamin. Mereka dibawa menggunakan kenderaan yang disediakan oleh pihak berkuasa ke PPS berkenaan untuk mendapatkan perlindungan segera.
Setibanya di pusat pemindahan, kesemua mangsa menjalani proses pendaftaran sebelum ditempatkan di ruang yang telah disusun rapi. Selain itu bantuan keperluan asas turut disalurkan bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat kebakaran berkenaan.
Pihak berkuasa memaklumkan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara sepanjang berada di PPS.
