30 RUMAH MUSNAH DALAMA KEBAKARAN DI KARAMUNTINGA, TIADA MANGSA TERCEDERA

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 29 APRIL- Sekurang-kurangnya 30 buah rumah musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran besar yang melanda Kampung PPH Karamunting, awal pagi tadi.

Pegawai Kanan Penguasa Bomba Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 3.16 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 18 minit kemudian.

“Operasi pemadaman segera digerakkan sebaik pasukan tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai. Kebakaran melibatkan rumah jenis tidak kekal dengan keluasan anggaran 3.5 ekar dan kemusnahan adalah 100 peratus,” katanya .

Menurutnya, seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan terlibat dalam operasi itu dengan bantuan beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Rosemedian Majid dengan sokongan unit khas termasuk pasukan kejuruteraan dan unit dron bagi memantau situasi dari udara.

Pasukan bomba menggunakan tiga aliran hos sepanjang 500 kaki dengan lima pancutan air memanfaatkan sumber air daripada tangki jentera, lori tangki serta pili bomba berhampiran bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.29 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.01 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sandakan turut digerakkan bagi membantu kerja pemadaman, kawalan keselamatan kawasan serta memberi bantuan awal kepada penduduk yang terjejas.

Walaupun kemusnahan melibatkan puluhan kediaman, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban dalam insiden berkenaan. Malah, tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya menghalang api daripada merebak ke kira-kira 100 buah rumah berhampiran.

Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Share This Article