TAWAU, 28 APRIL-Polis menahan tiga remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah seksual melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang dipercayai berlaku di beberapa lokasi berasingan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis Jasmin Hussin berkata dua suspek masing-masing berusia 14 dan 17 tahun ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 11.50 pagi semalam di Kampung Jawa.
Beliau berkata, seorang lagi suspek berusia 17 tahun ditahan dalam operasi susulan kira-kira jam 1.45 petang hari sama di pekarangan IPD Tawau.
Menurutnya, tindakan itu diambil selepas polis menerima laporan pada Sabtu lalu berkaitan dakwaan kejadian jenayah seksual yang melibatkan mangsa di beberapa lokasi sekitar Tawau dalam tempoh antara November tahun lalu hingga Februari tahun ini.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam beberapa insiden berasingan dengan individu berbeza, termasuk di kediaman dan kawasan awam.
“Selain itu, seorang lagi individu turut dikenal pasti dan sedang disiasat berhubung satu kejadian lain yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah, di mana mangsa dipercayai dipaksa melakukan perbuatan tidak bermoral,” katanya.
Jasmin berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tambah beliau, polis kini sedang melengkapkan siasatan termasuk mengambil keterangan daripada semua pihak berkaitan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa serta penjaga supaya lebih peka terhadap pergerakan dan pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa jenayah.
“Peranan masyarakat juga amat penting dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terjamin,” katanya.
