SEMPORNA, 26 APRIL – Taktik penyeludup terjun ke laut bagi meloloskan diri gagal apabila pihak berkuasa berjaya mematahkan cubaan penyeludupan rokok dalam satu operasi di perairan Tanjung Sironggol, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 hingga 1.40 pagi itu, operasi bersepadu membabitkan Zon Maritim Semporna bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna berjaya mengesan dua bot enjin sangkut dalam keadaan mencurigakan pada jarak sekitar 0.5 hingga 0.6 batu nautika di tenggara lokasi berkenaan.
Menurut sumber sebaik menyedari kehadiran bot peronda, suspek bertindak nekad terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan cetek, sekali gus meninggalkan bot serta muatan mereka.
Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot berkenaan menemukan tujuh kotak besar mengandungi lebih 100,000 batang rokok seludup pelbagai jenama.
Turut dirampas dua bot bersama enjin sangkut jenis Yamaha 40 kuasa kuda menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM69,800.
Operasi tersebut dilaksanakan menggunakan aset Bot Cenderawasih 09 menerusi Op Khas Cegah PATI (OCP) Covid-19 Sektor Timur dan Op Tiris 4.0 (Bersepadu).
Kesemua barang rampasan dibawa ke jeti untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Sementara itu Maritim Malaysia menegaskan akan terus memperkukuh kawalan di perairan negara bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut boleh menghubungi Hotline PUSOP di talian 088-387774 atau Pejabat Perhubungan Awam Zon Maritim Semporna.
