SEMPORNA, 25 APRIL– Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun cedera selepas van yang dipandunya terbabas sendiri dalam kejadian kemalangan jalan raya di Jalan Simpang Pegagau, pagi tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi, panggilan kecemasan diterima pada jam 9.14 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Badri Bin Alkap berkata, setibanya pasukan pada jam 9.36 pagi, didapati kemalangan melibatkan sebuah van jenis Foton C2 yang terbabas ke tepi jalan.
“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di dalam kenderaan. Pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa berjaya dikeluarkan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Semporna menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
Operasi berjaya dikawal pada jam 9.56 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.04 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Operasi melibatkan kekuatan lapan anggota, termasuk lima anggota jentera CFRT dan tiga anggota EMRS.
