SANDAKAN, 25 APRIL- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menegaskan bahawa sambutan Hari Anzac bukan sekadar memperingati nasib tawanan perang semasa Perang Dunia Kedua malah turut mengangkat jasa penduduk tempatan yang berkorban demi membantu mereka.
Menurut beliau, hubungan sejarah antara Malaysia, Australia dan Britain terbina bukan hanya melalui konflik peperangan sebaliknya diperkukuh oleh nilai kemanusiaan dan rasa belas ihsan yang ditunjukkan ketika zaman getir itu.
Ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee pada Upacara Subuh Hari Anzac yang berlangsung di Taman Peringatan Sandakan, di sini hari ini.
Dalam ucapannya Hajiji berkata ribuan tawanan perang dari Australia dan Britain berdepan penderitaan hebat di kem tahanan sekitar Asia Tenggara termasuk di Sandakan.
Beliau menjelaskan bahawa kem tahanan di Sandakan dan Ranau menjadi lambang kekejaman peperangan dengan para tahanan terpaksa melalui pelbagai kesengsaraan seperti kebuluran, buruh paksa serta perarakan maut yang mengorbankan hampir keseluruhan mangsa.
Namun begitu di sebalik keperitan tersebut wujud sinar kemanusiaan apabila penduduk tempatan sanggup mempertaruhkan nyawa demi membantu tawanan.
Katanya, tindakan berani penduduk kampung yang memberi perlindungan dan bantuan kepada tawanan wajar dikenang kerana dilakukan dalam keadaan penuh risiko termasuk berdepan hukuman berat daripada pihak penjajah.
“Keberanian ini membuktikan bahawa walaupun dalam situasi paling mencabar, nilai kemanusiaan tetap mampu menyerlah dan memberi harapan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa jasa dan pengorbanan semua pihak, sama ada tawanan perang mahupun penduduk tempatan, harus terus dihargai sebagai sebahagian daripada sejarah bersama yang membentuk hubungan erat antara negara terlibat.
Tambahnya, kenangan terhadap peristiwa tersebut kekal menjadi simbol ikatan persahabatan yang berkekalan serta peringatan terhadap pentingnya nilai kemanusiaan dalam menghadapi apa jua cabaran.
