LAHAD DATU, 17 APRIL – Keperluan mewujudkan Sekolah Agama Negeri di Lahad Datu serta penyelesaian segera terhadap kesesakan lalu lintas di kawasan Tungku antara isu utama yang dibangkitkan kepada kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat setempat.
Ketua Bahagian PGRS Tungku, Datuk Haji Abdul Hakim Gulam Hassan berkata, kedua-dua perkara itu perlu diberi perhatian serius berikutan impaknya terhadap kehidupan harian masyarakat.
Menurutnya, cadangan penubuhan Sekolah Agama Negeri di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) adalah penting bagi menampung permintaan yang semakin meningkat terhadap pendidikan agama khususnya dalam kalangan generasi muda.
Dalam pada itu beliau turut menegaskan isu kesesakan lalu lintas di kawasan Tungku yang berlaku setiap hari terutama pada waktu puncak pagi dan petang memerlukan tindakan segera.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna jalanraya malah turut melibatkan aspek keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkannya selaku Ahli Majlis Tertinggi PGRS.
Sementara itu Abdul Hakim memaklumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Presiden PGRS telah memberi maklum balas positif dan akan mempertimbangkan langkah penyelesaian dalam masa terdekat.
Terdahulu, beliau berkata penganjuran majlis tersebut bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-49 tahun serta sambutan Syawal dengan tujuan memupuk semangat silaturahim dalam kalangan masyarakat di Lahad Datu.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri bersama pemimpin tempatan serta masyarakat pelbagai lapisan.
Sambutan itu mendapat kehadiran menggalakkan dengan lebih 3,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis yang turut diserikan dengan acara memotong kek.
