1,139KG MINYAK MASAK BERSUBSIDI DISITA,SEORANG WANITA DITAHAN

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN,17 APRIL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas lebih 1,139 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan barang kawalan, malam kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata operasi kira-kira jam 9.47 malam itu turut membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 20 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati minyak masak paket bersubsidi bersaiz satu kilogram setiap satu disimpan di dalam sebuah bilik rumah berkenaan tanpa sebarang dokumen sah.

“Individu terbabit gagal mengemukakan permit atau lesen berkaitan penyimpanan barang kawalan tersebut. Susulan itu, kesemua minyak masak berkenaan disita dengan nilai anggaran RM2,747,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan hasil risikan selama seminggu sebelum serbuan dilakukan.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penyelewengan barangan bersubsidi.

“Jika disabitkan kesalahan individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berulang, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun.

“Bagi syarikat pula denda boleh mencecah RM2 juta dan meningkat sehingga RM5 juta bagi kesalahan seterusnya,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan KPDN akan terus mempergiat pemantauan serta pengauditan rantaian pengedaran minyak masak paket bersubsidi bagi memastikan bekalan sampai kepada golongan sasaran.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi kementerian.

Share This Article