KOTA KINABALU, 15 APRIL- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah menahan seramai 17 warga asing dalam operasi penguatkuasaan bersepadu menerusi Ops Belanja dan Ops Sapu yang dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini.
Dalam operasi tersebut seramai 31 individu telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati 17 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Daripada jumlah tangkapan itu 12 individu merupakan warganegara Filipina melibatkan sembilan lelaki dewasa dan tiga wanita dewasa. Selebihnya, lima individu adalah warganegara Indonesia terdiri daripada dua lelaki dewasa dan tiga wanita dewasa.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke depot imigresen untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah dalam kenyataannya memaklumkan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi mengekang kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini di samping memastikan undang-undang imigresen negara sentiasa dipatuhi.
