KETUA MENTERI SABAH DAN ISTERI HADIRI MAJLIS ROYAL MESS NIGHT SEMPENA ULANG TAHUN RASMI TYT SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 15 APRIL- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag menghadiri Majlis Royal Mess Night yang dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman di Sabah International Convention Centre (SICC), malam kelmarin.

Ketibaan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan isteri sekitar jam 7.45 malam disusuli keberangkatan tiba Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman bersama isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin.

Majlis dimulakan dengan sesi fotografi rasmi sebelum tetamu kehormat diiringi masuk ke meja utama dalam istiadat penuh tradisi, termasuk iringan pembawa pedang (sword bearer) dan alunan bagpipes. Upacara diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan Sabah Tanah Airku.

Suasana turut diserikan dengan perarakan panji-panji Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke dalam dewan diikuti acara simbolik ‘toast’ sebagai tanda penghormatan dan kesetiaan.

Antara pengisian utama ialah tiga sesi toast iaitu kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diikuti Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri, dan seterusnya kepada pasukan keselamatan serta agensi penguatkuasaan negara.

Majlis turut diisi dengan acara pemotongan kek, penyampaian cenderahati serta persembahan hiburan yang diiringi oleh kumpulan kombo gabungan PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Share This Article