KOTA KINABALU, 5 APRIL — Mangsa kebakaran di Kampung Gudon, Menggatal menerima Sumbangan Khas daripada Perdana Menteri dalam satu program penyerahan bantuan yang diadakan pagi tadi.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, bantuan berkenaan disalurkan sebagai usaha meringankan beban mangsa yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku baru-baru ini.
Menurut beliau, insiden tersebut memberi kesan besar kepada keluarga terlibat yang kehilangan tempat tinggal, harta benda serta kenangan yang dibina sekian lama.
“Situasi ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal mangsa, malah turut memberi tekanan emosi yang mendalam kepada mereka,” katanya ketika ditemui semasa program berkenaan.
Beliau berkata, sumbangan yang disampaikan diharap dapat membantu mangsa meneruskan kehidupan selain menjadi bukti keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan rakyat, khususnya ketika berdepan musibah.
“Walaupun bantuan ini tidak mampu menggantikan sepenuhnya kerugian dialami, ia diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha mangsa untuk bangkit dan membina semula kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapha turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam penyelarasan bantuan serta pengurusan kebajikan mangsa termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Beliau menegaskan, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan komuniti setempat mencerminkan semangat kebersamaan dalam membantu golongan yang memerlukan.
