PEMANDU MAUT, LORI 10 TAN TERBALIK DAN TERBAKAR DI KOTA BELUD

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA BELUD, 5 APRIL — Seorang lelaki maut selepas lori 10 tan yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas, terbalik dan terbakar dalam kejadian di Jalan Ulu Kukut, di sini tengah hari tadi.

Mangsa berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat kecederaan parah.

Difahamkan mangsa tercampak keluar dari kenderaan ketika kemalangan berlaku sebelum ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.

Kebakaran dipercayai berlaku sejurus selepas lori yang membawa muatan batu itu terbabas ke bahu jalan dan terbalik menyebabkan api marak pada kenderaan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.36 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Seramai lapan anggota bersama dua jentera dihantar ke tempat kejadian dan tiba kira-kira jam 12.10 tengah hari.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula (hose reel) serta bantuan buih bagi mengawal kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.50 tengah hari sebelum operasi ditamatkan kira-kira 27 minit kemudian.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Share This Article