SEMPORNA, 2 April – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya merekodkan nilai keseluruhan hasil penguatkuasaan, kompaun dan rampasan dianggarkan sebanyak RM680,250 menerusi Operasi Bersepadu Daerah Semporna yang dilaksanakan selama dua hari bermula 1 April lalu.
Komander ESSCOM, Victor B Sanjos berkata, operasi itu turut menyaksikan sebanyak 165 notis dan kompaun dikenakan oleh pelbagai jabatan serta agensi penguatkuasaan yang terlibat.
Menurut beliau, operasi berkenaan dilaksanakan sebagai usaha berterusan bagi memastikan pematuhan aspek pelesenan premis PELANCONGAN selain membanteras aktiviti tidak sah yang boleh menjejaskan keselamatan serta imej sektor pelancongan di daerah berkenaan.
“Selain itu, operasi ini turut memberi fokus kepada penguatkuasaan undang-undang melibatkan imigresen, perniagaan, pekerjaan, kastam serta kesalahan berkaitan hidupan liar dilindungi,” katanya.
Operasi tersebut melibatkan seramai 269 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Sebanyak 40 resort dan premis perniagaan telah diperiksa termasuk di kawasan bandar, perairan, penempatan setinggan serta kampung sekitar Semporna.
Dalam pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), seramai 38 individu diperiksa dengan 28 daripadanya dikenal pasti sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
Sementara itu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 32 kompaun melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerja 1955 manakala Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan sembilan kompaun di bawah Akta Syarikat 2016.
Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) turut mengeluarkan lapan notis dan kompaun berkaitan pematuhan pengendalian data peribadi.
Majlis Daerah Semporna (MDS) pula mengeluarkan 33 kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, pelanggaran syarat pelesenan serta keperluan kesihatan premis.
Dalam aspek keselamatan kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan 49 notis kesalahan melibatkan kegagalan menyediakan kemudahan keselamatan seperti alat pemadam api, penggera kebakaran dan lampu kecemasan.
Selain itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM11,642.19 termasuk cukai manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan tujuh kompaun berkaitan pelanggaran peraturan perdagangan.
Jabatan Hidupan Liar Sabah turut merampas pelbagai hasil hidupan liar termasuk daging babi, kura-kura dan burung murai dengan nilai dianggarkan RM1,300, manakala Jabatan Perikanan Sabah mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan aktiviti perikanan termasuk rampasan peralatan menangkap ikan.
Dalam pada itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengeluarkan 18 kompaun terhadap majikan yang gagal mendaftar pekerja di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.
Mengulas lanjut Victor berkata kejayaan operasi itu mencerminkan kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan di peringkat Persekutuan, Negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam memperkukuh keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone).
“Operasi ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Kerajaan MADANI melalui Operasi SANGGAH ESSCOM dalam memperhebat kawalan keselamatan serta memastikan pematuhan undang-undang,” katanya.
Beliau menegaskan ESSCOM akan terus mempergiat operasi bersepadu selaras dengan prinsip “Tiada Hari Tanpa Operasi” bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah Timur sentiasa terpelihara.
Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone melalui Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.
