TELIPOK, 31 Mac – Satu kebakaran besar melibatkan pusat pelupusan sampah di Kayu Madang, dekat sini, awal pagi tadi berjaya dikawal oleh pasukan bomba selepas operasi pemadaman dijalankan secara bersepadu.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 12.15 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran tiba di lokasi pada jam 12.36 pagi, kira-kira 19 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Norkizan Durudin, melaporkan kebakaran melibatkan longgokan tayar dengan keluasan dianggarkan kira-kira tiga ekar.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak pantas dengan menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan air, selain mendapatkan sumber air daripada jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Water Tanker.
“Selain itu, pasukan turut melaksanakan ‘fire break’ di sekeliling kawasan kebakaran dengan bantuan dua jentera berat jenis excavator bagi mengawal serta menghalang api daripada terus merebak,” Katanya.
Operasi melibatkan seramai 30 anggota daripada BBP Tuaran, BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas dibantu Unit Komunikasi serta agensi lain iaitu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Setakat ini operasi pemadaman masih dijalankan dan maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Sementara itu orang awam dinasihatkan agar menjauhi kawasan kejadian bagi memastikan kelancaran operasi serta keselamatan semua pihak.
