SANDAKAN, 30 Mac – Kejohanan ragbi tujuh sebelah antarabangsa, Borneo 7s, kembali dianjurkan pada 11 dan 12 April ini dengan penyertaan 16 pasukan dari lapan negara sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara ragbi utama di rantau Asia Pasifik.
Edisi ke-21 kejohanan anjuran Eagles Rugby Club itu akan berlangsung di Eagles Rugby Club Stadium, Sandakan, melibatkan penyertaan pasukan lelaki dan wanita dari Malaysia, Australia, Belgium, Filipina, Singapura, Indonesia, Kazakhstan dan Uzbekistan.
Presiden Eagles Rugby Club, Velayuthan Tan berkata, penganjuran Borneo 7s bukan sahaja mempromosikan Sandakan sebagai destinasi sukan antarabangsa, malah membuka peluang kepada pemain tempatan untuk beraksi di pentas lebih tinggi.
“Penyertaan pasukan dari pelbagai negara memberi pendedahan besar kepada pemain tempatan dan meningkatkan standard permainan ragbi di Sabah serta Malaysia secara keseluruhan.
“Ia juga menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dan memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menceburi sukan ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun terdapat beberapa cabaran semasa termasuk faktor luar yang memberi kesan kepada penyertaan khususnya melibatkan pasukan dari Eropah, kejohanan tetap diteruskan.
“Cabaran itu memang ada tetapi kejohanan ini tetap diteruskan. Ia bukan sekadar pertandingan tetapi juga soal menunjukkan karakter dan komitmen kami dalam membangunkan sukan ini,” katanya.
Sepanjang dua hari penganjuran peminat ragbi bakal disajikan aksi pantas dan kompetitif daripada kelab serta pasukan kebangsaan yang disegani di peringkat serantau dan antarabangsa.Selain aspek sukan, Borneo 7s terus mengekalkan identitinya sebagai “The Greenest 7s in the World” dengan pelaksanaan inisiatif kelestarian alam sekitar.
Antara usaha yang dilaksanakan termasuk program penanaman pokok hasil kerjasama Eagles Rugby Club bersama Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, pihak berkuasa tempatan, penaja serta komuniti setempat.
Velayuthan berkata, komitmen terhadap kelestarian menjadi antara teras utama penganjuran kejohanan itu selain aspek kompetitif dan penglibatan komuniti.
“Borneo 7s dibina atas tiga teras utama iaitu ragbi kompetitif, penglibatan komuniti dan komitmen terhadap alam sekitar. Legasi hijau ini sama penting seperti keputusan perlawanan,” katanya.
Bagi kategori lelaki, antara pasukan yang mengesahkan penyertaan termasuk Nationwide Nadi 7s (Australia), Borneo Eagles, Malaysia Unis, Malaysia 7s, Fizzapapa’s Belgium Rugby 7s, DKI Jakarta, Kazakhstan Rugby dan Uzbekistan Rugby.
Kategori wanita pula menyaksikan penyertaan Borneo Flyers, Eagles Select (Filipina), BAC Singapore, DKI Jakarta, Kazakhstan Rugby dan Uzbekistan Rugby dengan beberapa lagi pasukan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Borneo 7s yang mula dianjurkan pada 2001 kini diiktiraf oleh Asia Rugby serta Malaysia Rugby dan Sabah Rugby Union sekali gus menjadikannya antara kejohanan ragbi jemputan paling berprestij di rantau ini.
