SABAH FC JULANG MFL CHALLENGE CUP 2026 SELEPAS DRAMA PENALTI

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 19 APRIL-Sabah FC menepati ramalan apabila muncul juara MFL Challenge Cup 2026 selepas menundukkan Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 dalam aksi final mendebarkan di Stadium Likas, malam tadi.

Perlawanan berlangsung dalam tempo tinggi dengan kedua-dua pasukan saling mengasak, namun gagal memecah kebuntuan hingga ke masa tambahan. Kebuntuan itu akhirnya terlerai menerusi sepakan penalti menyaksikan skuad tuan rumah lebih tenang untuk memastikan kejuaraan menjadi milik mereka.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai detik penting dalam landskap pembangunan bola sepak negeri.

Menurut beliau, kejayaan itu mencerminkan kekuatan mental, disiplin serta semangat juang tinggi yang dipamerkan pemain sepanjang perlawanan getir berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyokong setia yang memenuhi stadium, sekali gus memainkan peranan besar dalam menyuntik semangat pasukan terutama ketika aksi semakin memuncak.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menzahirkan ucapan tahniah kepada Sabah FC atas pencapaian cemerlang tersebut dan mengumumkan ganjaran kemenangan sebanyak RM500,000 kepada pasukan.

Dalam masa sama, kementerian berkaitan turut menyalurkan insentif tambahan berjumlah RM200,000 sebagai tanda sokongan berterusan terhadap kecemerlangan pasukan itu.

Kejayaan berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada kemajuan bola sepak Sabah serta menyemarakkan minat generasi muda untuk terus aktif dalam sukan, sejajar dengan aspirasi pembangunan negeri.

Share This Article