MAJLIS PENUTUPAN SABAH MUAY THAI EXPO 2026 BERLANGSUNG MERIAH DI KOTA KINABALU

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 12 APRIL– Sabah Muay Thai Expo 2026 melabuhkan tirainya dalam suasana penuh meriah menerusi majlis penutupan rasmi yang berlangsung di pusat beli-belah 1 Borneo Hypermall, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Datuk Hj. Nizam bin DSP Hj. Abu Bakar Titingan yang hadir sebagai tetamu kehormat bagi merasmikan penutup acara berkenaan.

Turut memeriahkan majlis ialah Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sabah, Ir. Hj. Nazri Ab Razak, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Tuan Mohd Asneh Mohd Noor serta Setiausaha Tetap kementerian berkenaan Datuk Mansur Hj. Asun bersama jemputan kenamaan lain.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan lagu negeri Sabah Tanah Airku, sebelum diteruskan dengan persembahan tradisi Wai Kru oleh atlet Muay Thai yang pernah mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Dalam ucapannya, Datuk Hj. Nizam bin DSP Hj. Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa sukan tempur seperti Muay Thai mampu menjadi medium penting dalam membentuk disiplin, ketahanan mental serta sahsiah diri dalam kalangan belia, di samping melahirkan atlet berdaya saing.

Sementara itu ucapan alu-aluan oleh Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sabah menzahirkan penghargaan terhadap sokongan pelbagai pihak dalam menjayakan penganjuran ekspo tersebut.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat dan jemputan khas sebagai tanda penghargaan, sebelum diteruskan dengan simbolik membunyikan loceng perlawanan oleh menteri berkenaan.

Acara kemuncak menyaksikan perlawanan akhir kategori remaja yang menjadi tumpuan pengunjung dan peminat sukan tersebut.

Penganjuran Sabah Muay Thai Expo 2026 dilihat sebagai platform penting dalam usaha mencungkil bakat baharu serta memperkukuh pembangunan sukan Muay Thai di negeri ini sekali gus membuka ruang kepada atlet tempatan untuk melakar kejayaan di peringkat lebih tinggi.

Share This Article