KENINGAU, 29 Mac — Bau kurang menyenangkan yang dihidu seorang pemancing membawa kepada penemuan rangka manusia dipercayai milik seorang kanak-kanak lelaki di tebing Sungai Sigapon, di sini, semalam.
Penemuan kira-kira jam 4.30 petang itu kemudian dikenal pasti sebagai Muhammad Aidan Ridwan Abdullah, 10, yang sebelum ini dilaporkan hilang akibat lemas di Sungai Pagalan pada 24 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9.17 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati rangka berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan dipercayai telah dimakan haiwan liar.
“Lokasi penemuan di Sungai Sigapon dianggarkan kira-kira 23 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan lemas di Sungai Pagalan, Sook,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rangka bersama cebisan kulit dan tisu telah dikumpulkan sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut.
Katanya, proses pengecaman dilakukan oleh ibu mangsa pada jam 3 petang semalam yang mengesahkan identiti kanak-kanak itu berdasarkan struktur gigi.
Dalam kejadian terdahulu, mangsa dilaporkan hilang bersama datuknya, Fredoline Yariki, 60, ketika memeriksa bot di Sungai Pagalan berhampiran Taman Bersatu.
Kehilangan kedua-duanya disedari oleh ahli keluarga sebelum operasi pencarian dijalankan di sekitar kawasan sungai berkenaan.
Warga emas itu kemudiannya ditemui lemas di Sungai Banjar, Mempikit pada keesokan hari oleh penduduk kampung, manakala cucunya dipercayai dihanyutkan arus sehingga ke lokasi rangka itu ditemui.
TAMAT
