Tujuh Rumah Terbakar di Kampung Gudon, Lima Musnah Sepenuhnya

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 28 Mac – Sebanyak tujuh rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran yang melanda Kampung Gudon, Menggatal, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu, lima kediaman dilaporkan musnah sepenuhnya, manakala dua lagi mengalami kerosakan teruk dianggarkan sekitar 90 peratus selepas api marak dengan cepat memusnahkan struktur bangunan.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Penguasa Bomba Ronny Sikawan memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.54 petang sebelum pasukan pertama tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.

“Seramai 23 anggota bersama beberapa jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) serta Water Tanker telah digerakkan bagi operasi pemadaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, operasi memadam kebakaran dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang 600 kaki dengan tiga pancutan air yang disalurkan daripada jentera serta pili bomba berhampiran.

Api berjaya dikawal sekitar jam 4.58 petang dan setakat ini tiada laporan kecederaan atau kehilangan nyawa diterima.

Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Willfred Sulai dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk pihak polis dan Sabah Electricity bagi memastikan keadaan terkawal.

Pihak bomba kini meneruskan kerja-kerja pemadaman akhir dan pemantauan di lokasi bagi mengelakkan kemungkinan kebakaran berulang, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

TAMAT

Share This Article