KOTA KINABALU, 27 Mac – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melantik tokoh kewangan antarabangsa, Tan Sri Andrew Sheng sebagai Penasihat Khas bagi memperkukuh agenda pembangunan ekonomi negeri.
Pengumuman pelantikan itu dibuat selepas pertemuan antara kedua-dua pihak di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, hari ini.
Hajiji berkata, pengalaman luas serta kepakaran Sheng dalam sektor kewangan global dijangka mampu menyumbang kepada usaha memperkasakan ekonomi Sabah, khususnya dalam menarik pelaburan berkualiti.
“Kerajaan negeri amat menghargai kesediaan beliau untuk berkongsi kepakaran dan pandangan strategik, terutama dalam bidang ekonomi dan pelaburan,” katanya.
Andrew Sheng merupakan tokoh perbankan dan pengawal selia kewangan yang berpengalaman luas di peringkat antarabangsa. Anak kelahiran Malaysia yang membesar di Sabah pada era 1960-an itu kini berpangkalan di Hong Kong.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Ketua Ekonomi dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, selain pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority.
Beliau juga pernah menyandang jawatan Pengurus Kanan di Bank Dunia serta Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong.
Ketika ini, beliau berkhidmat sebagai Profesor Khas di Institut Kewangan, Universiti Cina Hong Kong (Kampus Shenzhen) serta menganggotai beberapa majlis penasihat antarabangsa, termasuk bagi badan pengawalseliaan kewangan China.
Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang ekonomi global, Andrew Sheng pernah disenaraikan oleh Majalah TIME sebagai antara 100 individu paling berpengaruh di dunia pada tahun 2013.
Pelantikan ini dilihat sebagai langkah strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Sabah.
TAMAT
