Empat Lelaki Ditahan Dalam Ops Tapis Narkotik di Sandakan

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 25 Mac — Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menahan empat lelaki dalam satu operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah yang dijalankan di sekitar Kampung Melayu dan Taman Seri Labuk, pagi semalam.

Operasi yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi itu menyasarkan aktiviti pengedaran serta penagihan dadah di dua kawasan berkenaan.

Menurut sumber, tiga daripada suspek merupakan warga tempatan manakala seorang lagi adalah warga asing. Kesemua mereka ditahan atas kesalahan berkaitan dadah, termasuk disyaki menyembunyikan bahan terlarang di dalam badan.

Susulan penahanan itu, semua suspek dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing. Hasil ujian mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, atau lebih dikenali sebagai syabu.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Semua suspek kini ditahan di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.

Operasi berkenaan dilaksanakan selaras dengan komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis George Abd Rakman dalam mempergiat usaha memerangi jenayah dadah di daerah ini.

TAMAT

Share This Article