BATU SAPI, 26 Mac — Seramai 70 ketua isi rumah di Kampung Lupak Meluas Lama menerima sumbangan bakul makanan menerusi satu inisiatif kebajikan yang digerakkan bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah.
Program bantuan tersebut merupakan usaha Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, melalui Pusat Khidmat Rakyat Parlimen kawasan berkenaan.
Majlis penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Batu Sapi, Tuan Ajak Hj Sadikal yang hadir mewakili beliau.
Menurut pihak penganjur, bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan masyarakat setempat terus terbela, khususnya dalam membantu meringankan kos sara hidup golongan memerlukan.
Inisiatif seumpama itu diharap dapat memberi sedikit kelegaan kepada penerima selain memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan komuniti setempat.
TAMAT
