KOTA KINABALU, 24 Mac — Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh komitmen dalam memperkasa agenda digital menerusi perbincangan strategik bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam satu kunjungan hormat hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohd Salim Fateh Din di pejabatnya, bagi membincangkan hala tuju pembangunan digital negeri ke arah ekosistem lebih pintar dan mampan.
Menurut beliau, pertemuan itu turut dimanfaatkan untuk mendapatkan taklimat terkini berhubung kemajuan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah, selain perkembangan inisiatif DBKK Smart City yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
“Usaha ini amat penting dalam memastikan rakyat Sabah menikmati akses digital yang lebih meluas dan berkualiti, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi serta mempercepatkan transformasi negeri ke arah pendigitalan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib; Ahli SKMM, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; serta beberapa pegawai kanan agensi berkaitan.
Kerajaan Negeri, katanya, akan terus bekerjasama rapat dengan SKMM dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan pembangunan infrastruktur digital diperkasa secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Sabah.
TAMAT
