SANDAKAN, 13 Mac: Kegiatan penyimpanan dan pemunggahan rokok seludup di sebuah rumah di Kampung Sungai Kayu, Batu 7, di sini, berjaya dibongkar oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan dalam satu operasi semalam.
Serbuan kira-kira jam 7.30 malam itu dilaksanakan selepas pihak PPM menerima maklumat daripada orang awam mengenai aktiviti penyeludupan serta pemindahan rokok tidak bercukai di kawasan berkenaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, susulan maklumat tersebut, sepasukan anggota PPM Sandakan menjalankan pemantauan di sekitar kediaman terbabit sebelum melakukan pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, hasil pemantauan yang dilakukan selama beberapa jam tidak mengesan sebarang pergerakan mencurigakan di luar premis berkenaan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan di dalam rumah itu menemukan beberapa bungkusan plastik hitam yang disimpan di ruang kediaman berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan tersebut mengandungi pelbagai jenis rokok yang dipercayai tidak berkastam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara jenama rokok yang ditemui ialah Era Ice Plus, Satos Black Menthol dan Satos Blue.
Katanya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM204,000.
“Semua barang rampasan telah dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut dan siasatan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Amri turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan operasi berkenaan.
Beliau berkata, orang ramai digalakkan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi membantu memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara.
TAMAT
