TUARAN, 9 Mac — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor , meluangkan masa menghadiri majlis berbuka puasa bersama masyarakat setempat di Masjid Nurusaadah, Kampung Bolong Lama, di sini pada Isnin.
Dalam majlis berkenaan, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada kira-kira 200 penerima terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
Program berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Kebajikan Sabah sebagai sebahagian usaha mendekati masyarakat dan membantu golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Majlis itu turut diisi dengan tazkirah Ramadan sebelum para hadirin menikmati juadah berbuka puasa bersama, diikuti solat Maghrib, Isyak dan Terawih secara berjemaah di masjid berkenaan.
Turut hadir memeriahkan program ialah ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya; ADUN Dilantik, Datuk Haji Abdul Kassim Razali; Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah, Datuk Hajah Diyanah Abdullah; Pegawai Daerah Tuaran, Tuan Ibrahim Terki; Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang; serta Timbalan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad.
Program berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam mendekati rakyat di peringkat akar umbi, selain menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat sepanjang Ramadan.
TAMAT
