PENAMPANG, 8 Mac – Seorang lelaki cedera parah selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi kereta di Jalan Datuk Panglima Banting, berhampiran simpang masuk Taman Country Shangri-La, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.12 pagi itu, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu Perodua Myvi dan Proton Saga.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zeno Tingalan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 4.12 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari BBP Lintas bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, jentera bomba tiba di tempat kejadian pada jam 4.19 pagi kira-kira empat kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang mangsa iaitu pemandu Perodua Myvi tersepit di tempat duduk pemandu.
“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya.
Mangsa lelaki berusia 50 tahun itu berjaya dikeluarkan sebelum diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, seorang lagi mangsa lelaki berusia 49 tahun yang berada di dalam kenderaan Proton Saga dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi turut melibatkan kerjasama pihak polis dan KKM.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.05 pagi.
TAMAT
