Dua ditahan tangkap ikan guna bahan letupan di perairan Kunak

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU, 8 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah pam bot yang disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Kunak, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata bot berkenaan ditahan kira-kira jam 1.15 pagi pada kedudukan sekitar satu batu nautika timur laut Kunak oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi bersepadu.

Menurutnya, operasi itu melibatkan Op Pluto Timur 2/2023, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut 1/2026.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati vesel berkenaan dikendalikan dua kru lelaki suku Palauh berusia antara 18 hingga 23 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati vesel yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu dipercayai menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Katanya, turut ditemui kira-kira 15 kilogram ikan serta beberapa peralatan menyelam termasuk hos udara di dalam vesel berkenaan. �

Dzulfikhar menegaskan bahawa aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan atau bom ikan adalah kesalahan serius kerana bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh memusnahkan habitat marin termasuk terumbu karang serta menjejaskan sumber perikanan negara.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti bom ikan di perairan negara,” katanya.

Kedua-dua suspek bersama vesel dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menyalurkan maklumat melalui talian kecemasan 999 atau WhatsApp Maritim Malaysia.

TAMAT

Share This Article