SANDAKAN, 6 Mac – Seorang Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) bagi kawasan DUN N.55 Elopura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan untuk ahli keluarganya.
Tertuduh, Herman Idris, 52, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya sebagai pegawai badan awam dengan mencadangkan seorang saudaranya Amir Ismail sebagai penerima bantuan kemiskinan di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bernilai RM70,000.
Perbuatan itu didakwa dilakukan ketika Mesyuarat Focus Group Daerah Sandakan JKTD Bil.2/2022 pada 26 September 2022 kira-kira jam 2.30 petang di Dewan Persidangan Libaran, Tingkat 1, Wisma Perbandaran Majlis Perbandaran Sandakan.
Bagi pertuduhan alternatif kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan mencadangkan seorang lagi saudaranya Siti Nor Amira Amir, sebagai penerima bantuan program yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan deposit RM6,000.
Selain itu, tertuduh turut diarahkan melapor diri di pejabat SPRM Sandakan setiap dua bulan sekali serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 1 April 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala tertuduh diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon daripada Tetuan Lincon & Co.
TAMAT
