JELAJAH RAMADAN EDISI KE-14 RTM ZON SABAH 2026 MERIAHKAN SANDAKAN

sabahheadlines
2 Min Read

Sandakan, 5 Mac – Persiapan akhir bagi pelaksanaan Program Jelajah Ramadan Edisi Ke-14 Radio RTM Zon Sabah telah berlangsung dengan meriah di lokasi pertama iaitu di Dataran Piazza Harbour Square, pusat bandar Sandakan.

Program tahunan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Zon Sabah ini menampilkan pelbagai pengisian menarik bagi memeriahkan bulan Ramadan serta mendekatkan RTM dengan masyarakat setempat.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk demonstrasi masakan kari ayam bersama penaja utama Baba’s yang turut menyediakan dan mengagihkan sebanyak 500 pek nasi kari ayam kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa. Selain itu, Usahanita Sabah turut mengambil bahagian dengan memasak serta mengagihkan 500 pek kuih wajik kepada para pengunjung.

Turut diadakan Mini Karnival dan Bazar Rakyat Jualan Rahmah Madani, kaunter pembayaran zakat, Studio Mini Radio RTM Sabah serta persembahan hiburan pentas bersama kumpulan Mawar B’six yang menambah kemeriahan suasana program.

Cuaca yang baik di Sandakan hari ini turut membantu kelancaran persiapan program, dengan Skuad Jelajah Ramadan 2026 bersama krew RTM Sabah serta penaja utama Baba’s & U berjaya menyiapkan masakan kari ayam untuk diagihkan kepada orang ramai.

Majlis perasmian Jelajah Ramadan Edisi Ke-14 RTM Zon Sabah 2026 akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Hazem Mubarak Tun Musa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.51 Sungai Manila di Dewan Serbaguna Masjid Daerah Sandakan.

Program ini turut dihadiri oleh Mohd Yusni Mohamed Ali, Pengarah Penyiaran Sabah. Turut hadir Encik Farizal Setoh, Timbalan Presiden II Majlis Perbandaran Sandakan yang mewakili Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, selain kehadiran wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan.

Program diakhiri dengan penyerahan sumbangan zakat oleh Pengarah RTM Sabah bersama Zakat Sandakan kepada golongan asnaf serta anak-anak yatim di daerah ini. Para hadirin turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.

Jelajah Ramadan Edisi Ke-14 RTM Zon Sabah 2026 yang membawa tema “Satu Suara, Satu Jiwa” diharap dapat terus mengeratkan hubungan antara RTM dan masyarakat serta menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.

Oleh: Jalie mohamad

Share This Article