29 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Imigresen di Ranau

sabahheadlines
1 Min Read

RANAU, 3 Mac – Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini, semalam.

Operasi bersepadu itu digerakkan oleh 18 pegawai daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah melalui Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daerah berkenaan.

Menurut kenyataan JIM Sabah, pemeriksaan dilakukan terhadap 41 individu sebelum 29 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Daripada jumlah yang ditahan, 11 adalah lelaki dewasa dan lapan perempuan dewasa, selain lima kanak-kanak lelaki serta lima kanak-kanak perempuan.

Kesemua mereka disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63, termasuk kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

JIM Sabah menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran warga asing tanpa izin di negeri ini.

Agensi itu turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melindungi atau menggaji PATI serta menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat bagi membantu usaha penguatkuasaan.

TAMAT

Share This Article