Tiga Rumah, Dua Motosikal Musnah Dalam Kebakaran di Kampung Imbak

sabahheadlines
2 Min Read

TONGOD, 1 Mac — Tiga buah rumah serta dua motosikal musnah dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Imbak, Tongod, Sabah, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 11.31 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 166 kilometer dari balai. Jentera tiba di lokasi pada jam 1 tengah hari.

Komander Operasi, PBK I Jasmani bin Osni, memaklumkan kebakaran melibatkan tiga buah rumah dan dua motosikal jenis Honda EX5 yang terbakar sepenuhnya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dipadamkan lebih awal oleh penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman bara-bara api menggunakan satu aliran hos salur bantu mula serta membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi punca bahaya di lokasi,” katanya.

Operasi berjaya dikawal pada jam 2.20 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.45 petang.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Maklumat lanjut mendapati rumah pertama jenis separuh kekal berukuran 30×40 kaki persegi, manakala dua lagi rumah tidak kekal masing-masing berukuran 25×20 kaki persegi dan 18×25 kaki persegi, semuanya musnah 100 peratus.

Operasi membabitkan tujuh anggota BBP Kinabatangan dengan kekuatan sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Triton milik Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Tongod yang dianggotai dua anggota.

Turut membantu di lokasi ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), enam anggota RELA serta tiga wakil Sabah Electricity.

TAMAT

Share This Article