SEMPORNA, 27 Feb – Sembilan rumah kediaman bersama dua premis perniagaan musnah dalam satu kebakaran di Jalan Pinggir Bakau, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.51 tengah hari itu, panggilan kecemasan diterima melalui talian NG999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna digerakkan ke lokasi.
Menurut Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, PPgB Rastam bin Keladi, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 1.53 tengah hari, kira-kira satu kilometer dari balai.
“Kebakaran melibatkan sembilan rumah kediaman, sebuah stor FMK Smart Hardware dan sebuah kedai runcit jenis tidak kekal dengan anggaran keluasan keseluruhan 390 x 180 kaki persegi.
Kesemua struktur terbabit terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman diketuai PBK II Nazir bin Korong selaku Komander Operasi, dibantu Komander Operasi Kanan PPgB Rastam bin Keladi bersama 21 anggota termasuk bantuan enam anggota dari BBP Air Semporna.
Pasukan bomba menggunakan dua aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan air bagi mengawal kebakaran.
Sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.29 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.30 petang.
Seorang mangsa wanita, dikenali sebagai Imang binti Aspal, 53, dilaporkan pengsan di lokasi kejadian.
Mangsa diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
Pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami.
TAMAT
