Kompleks As-Sakinah Pacu Pembangunan Holistik Anak Yatim dan Asnaf

sabahheadlines
1 Min Read

PAPAR, 26 Feb – Kompleks Anak Yatim dan Asnaf As-Sakinah di sini terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pembangunan menyeluruh apabila bukan sahaja menyediakan perlindungan, malah menumpukan pembentukan sahsiah, pendidikan serta persiapan masa depan penghuni.

Perasmian kompleks berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, yang menegaskan bahawa anak-anak yatim dan asnaf di institusi itu perlu dilihat sebagai amanah yang mesti dipelihara dengan penuh tanggungjawab.

Menurut Tun Musa Aman, usaha membangunkan generasi berilmu dan berakhlak mulia memerlukan komitmen berterusan daripada pihak pengurusan, termasuk memperkasa aspek pendidikan formal, pembangunan rohani serta latihan kemahiran hidup.

“Anak-anak ini bukan sekadar menerima bantuan kebajikan, sebaliknya mereka memiliki potensi besar untuk digilap sehingga mampu berdikari dan menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian yang berlangsung pada Khamis.

Tun Musa Aman juga turut melahirkan rasa gembira apabila dimaklumkan bahawa sebahagian penghuni kompleks berkenaan berjaya melanjutkan pengajian ke beberapa universiti di seluruh negara, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan pembangunan yang dilaksanakan.

Kompleks As-Sakinah dilihat sebagai platform penting dalam membina masa depan lebih cerah buat anak-anak yatim dan golongan asnaf, selari dengan aspirasi melahirkan generasi yang berdaya saing serta mempunyai jati diri kukuh.

TAMAT

Share This Article