Enam ADUN Warisan Sandakan Desak Siasatan Menyeluruh Isu Projek Rumah Mesra SMJ

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 26 Feb – Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Warisan Sabah kawasan Sandakan menggesa siasatan menyeluruh dan tindakan tegas berhubung penahanan seorang penjawat awam yang disyaki terbabit dalam rasuah berkaitan projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

ADUN terlibat ialah YB Calvin Chong (Elopura), YB Lisa Alban (Sungai Sibuga), YB Alias Hj. Sani (Sekong), YB Arunanarsin Taib (GumGum), YB Alex Wong (Karamunting) dan YB Alex Thien (Tanjong Papat).

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menyifatkan dakwaan penyelewengan terhadap projek perumahan yang disasarkan kepada golongan memerlukan sebagai sesuatu yang serius dan tidak boleh dipandang ringan. Menurut mereka, sebarang salah guna kuasa dan dana awam merupakan pengkhianatan terhadap amanah rakyat.

“Program perumahan seperti Rumah Mesra SMJ diwujudkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman selesa dan selamat. Ia tidak sepatutnya menjadi ruang kepada kepentingan peribadi atau amalan tidak beretika,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara telus, bebas dan menyeluruh tanpa mengehadkan penelitian kepada individu yang telah ditahan sahaja. Sebaliknya, siasatan perlu merangkumi keseluruhan proses termasuk kelulusan projek, pemilihan kontraktor, pengurusan kewangan serta kemungkinan pembabitan pihak lain.

Selain itu, mereka berpendapat kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan proaktif dengan memperketat sistem pemantauan dan kawalan dalaman, meningkatkan ketelusan proses kelulusan serta melaksanakan audit berkala terhadap program bantuan perumahan.

Kenyataan berkenaan turut menekankan kepentingan pendedahan hasil siasatan kepada umum bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran. Mereka menegaskan tiada mana-mana pihak harus dilindungi sekiranya didapati bersalah, tanpa mengira jawatan atau kedudukan.

Enam wakil rakyat itu memaklumkan akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan mendesak tindakan lanjut diambil sekiranya wujud bukti kukuh, demi memastikan prinsip integriti dan keadilan terus terpelihara.

TAMAT

Share This Article