SANDAKAN,24 Februari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan dua ahli keluarganya yang tidak layak sebagai penerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9.50 pagi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada tahun 2022 melibatkan cadangan nama bapa mentua dan adik iparnya sebagai penerima bantuan.
Rumah yang dibina atas nama kedua-dua penama itu dilaporkan siap pada tahun 2023.
Bagaimanapun sehingga tahun 2025 rumah berkenaan didapati masih belum didiami,sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kelayakan sebenar penerima serta berpotensi menjejaskan objektif program bantuan tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek dijangka akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.
TAMAT
