Enam Sekeluarga Diselamatkan Selepas Kenderaan Terperangkap Banjir di Kg Piasau

sabahheadlines
1 Min Read

TAMBUNAN, 23 Feb — Enam individu berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba selepas kenderaan yang dinaiki mereka terperangkap dalam kejadian banjir di Kampung Piasau, malam tadi.

Menurut laporan operasi, panggilan kecemasan diterima pada jam 10.45 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai. Jentera tiba pada jam 10.52 malam.

Komander Operasi, PBK I Raizaain bin Awang Damit memaklumkan bahawa sebuah kenderaan didapati terperangkap akibat laluan dinaiki air.

Pasukan bomba bertindak segera membawa keluar kesemua mangsa seramai enam orang ke rumah mereka dalam keadaan selamat.

Mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan dua kanak-kanak lelaki daripada satu keluarga.

Operasi melibatkan lapan anggota menggunakan sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan utiliti.

Tiada agensi lain terlibat dalam operasi berkenaan.

Keadaan cuaca dilaporkan beransur baik apabila hujan mulai berhenti dan paras air semakin surut.

Pihak bomba memaklumkan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.20 tengah malam.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengelakkan melalui kawasan dinaiki air bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

TAMAT

Share This Article