Kerjasama Kerajaan–FCAS Perkukuh Kesejahteraan Sabah

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 21 Feb – Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, menegaskan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pertubuhan masyarakat, termasuk Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), terus menjadi pemangkin kepada kestabilan sosial dan kemajuan ekonomi negeri ini.

Beliau berkata, sinergi yang terjalin mampu memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum selaras dengan aspirasi pembangunan inklusif yang digariskan menerusi agenda Sabah Maju Jaya, yang memberi penekanan kepada keseimbangan dan manfaat bersama.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Joachim Gunsalam, pada Majlis Pesta Angpau FCAS yang berlangsung di Dewan Hakka, malam tadi.

Menurutnya, FCAS yang menghimpunkan kira-kira 160 persatuan Cina dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan memainkan peranan signifikan dalam memelihara warisan budaya, memperkukuh perpaduan serta menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri.

Beliau turut menyifatkan penganjuran Pesta Angpau sebagai manifestasi semangat muhibah dan keharmonian masyarakat majmuk Sabah, sekali gus mencerminkan kekuatan perpaduan yang menjadi tunjang kestabilan negeri.

Kerajaan negeri, katanya, akan terus menghargai dan memperkukuh kerjasama strategik dengan badan bukan kerajaan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kebajikan, kebudayaan dan pembangunan komuniti.

TAMAT

Share This Article